Ramai yang mengetahui bahawa berbasikal merupakan antara cara terbaik untuk kekal sihat dan cergas. Berbasikal merupakan senaman yang ideal bagi masyarakat di semua peringkat umur dan latar belakang. Tidak seperti tanggapan umum, berbasikal bukan hanya tertumpu pada bahagian kaki. Berbasikal merupakan aktiviti kardio pernafasan yang menguatkan badan dan pada masa yang sama membolehkan pengamalnya bergembira dan bersosial. Berbasikal secara kerap membantu mengelakkan penyakit seperti barah, kencing manis, obesiti, artritis dan juga kemurungan. Berbasikal secara keseluruhannya dapat meningkatkan kadar kecergasan seseorang, namun kelebihan berbasikal bagi jantung adalah lebih besar.
Melancarkan aliran darah
Aliran darah yang lancar dapat meningkatkan daya ingatan dan konsentrasi seseorang kerana pengumpulan toksin dalam badan dihalang. Berbasikal mampu mengerjakan jantung dan saluran darah dengan mengalirkan darah yang tinggi kandungan oksigen ke seluruh badan, sambil membakar lemak badan dan mengurangkan selulit. Ia juga mengalakkan jantung menjadi lebih efisien dan memperbaiki sistem pernafasan dan aliran darah dengan menguatkan otot jantung.
Mampu mengawal tekanan darah
Berbasikal meningkatkan kawalan tekanan darah sebanyak 10/8 mmHg bagi pesakit yang mengalami darah tinggi dan membantu merendahkan kadar tekanan darah sewaktu rehat bagi mengurangkan risiko kematian secara mengejut bagi mereka yang sihat (Journal of Cardiovascular Pharmacology, 1995). Ia juga mengurangkan mendapan darah dan lemak badan pada arteri, serta meningkatkan kemampuan badan untuk mencegah pelbagai jenis penyakit termasuklah kencing manis dan darah tinggi. Berbasikal secara kerap menjadikan kadar kematian bagi kedua-dua jantina bagi semua peringkat umur turun sebanyak 40% (Journal of Internal Medicine, 2000).
Mengurangkan paras kolesterol `jahat’
Berbasikal juga berfungsi sebagai pengawal tubuh yang baik. Ia memainkan peranan dalam mengurangkan kadar kolesterol jahat, LDL, sambil meningkatkan kadar kolesterol baik, HDL. Semakin tinggi nisbah HDL/LDL anda, lebih sihat badan anda kerana kolesterol lebih banyak dibuang berbanding dikumpulkan. Ini bermakna terdapat kurang kolesterol dalam badan yang akan diserap masuk ke dalam tisu dan arteri, lantas mengelakkan keadaan bergelar arteriosklerosis. Berbasikal secara kerap mengurangkan sebanyak 50% risiko menghidap penyakit kardiovaskular seperti stroke, penyakit yang keempat paling banyak membunuh di Malaysia. (Helping Needy Stroke Victims, The Star Online, 2011).
Terdapat banyak tip latihan yang dapat anda amalkan untuk meningkatkan prestasi berbasikal. Berikut merupakan beberapa cara mudah untuk menguatkan badan dan mencergaskan diri semasa senaman:
Pemakanan yang seimbang – Amalan pemakanan yang baik merupakan langkah pertama untuk kekal cergas. Memakan makanan yang berkhasiat dengan sayur-sayuran hijau, buah-buahan serta hidangan yang terdiri daripada protein dan karbohidrat yang lambat dihadamkan dapat membantu badan anda mendapatkan nutrien yang diperlukan, menggantikan tisu yang terpakai serta menghasilkan tenaga.
Menghidratkan tubuh – Penyahhidratan mengehadkan prestasi anda dalam acara kompetitif dan boleh mengakibatkan kekejangan otot serta masalah lain. Malah, kekurangan air dalam badan walaupun pada kadar yang sedikit boleh merendahkan metabolisme dan mengurangkan kemampuan anda untuk bersenam secara efisien. Amalkan pengambilan air pada selingan masa yang tetap sepanjang 2-4 jam selepas anda berbasikal bagi menghidratkan tubuh anda semula.
Kekal fleksibel – Aktiviti memanaskan dan menyejukkan badan yang dijalankan dengan cara yang betul merupakan faktor penting bagi mengelakkan kecederaan. Pemanasan badan membantu anda untuk bersedia secara mental dan fizikal bagi aspek-aspek sukan yang lebih mencabar, manakala penyejukan badan membantu badan anda untuk kembali ke mod rehat secara perlahan-lahan.
Mendapatkan tidur yang cukup – Kebaikan tidur memberi kesan kepada hampir semua aspek kehidupan seharian kita. Badan anda menghasilkan molekul protein dengan lebih banyak ketika anda tidur, dan ini menjadikan anda lebih kuat melawan jangkitan serta membantu anda untuk kekal sihat.