Tag Archives: Bersenam

Gaya Hidup Moden Punca Wanita Semakin Kurang Bersenam

Perubahan gaya hidup yang semakin moden dan terlalu bergantung kepada peralatan mesin dalam kehidupan seharian menyebabkan golongan wanita di negara ini semakin kurang bersenam, kata seorang pensyarah sukan.

Ketua Unit Sains Sukan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Chen Chee Keong berkata 80 peratus daripada wanita yang telah dinilai mengaku kurang bersenam.

“Kebanyakan mereka tidak bersenam kerana beberapa faktor seperti tidak mempunyai masa yang cukup, kurang pengetahuan tentang senaman, perubahan dalam gaya hidup dan terlalu bergantung pada mesin seperti mesin basuh, mesin pengering kain, dan mesin pencuci pinggan mangkuk,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu membentangkan kertas kerja bertajuk “Penilaian dan Promosi Kecergasan Berkaitan Dengan Kesihatan Dalam Kalangan Wanita Pertengahan Umur” pada Seminar Sains Sukan ke-7 anjuran USM.

Dr Chen berkata soal kurang bersenam tidak boleh dipandang ringan oleh golongan wanita, ini kerana lama-kelamaan ia boleh menyebabkan timbulnya penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis, strok dan obesiti.

Menurutnya golongan wanita perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan tiga kali seminggu untuk melakukan senaman.

“Banyak cara yang boleh dilakukan, kerja rumah juga boleh dijadikan satu bentuk senaman, bersenam tidak semestinya perlu berjoging di taman atau pun membeli peralatan senaman yang mahal-mahal,” katanya.

Beliau berkata antara senaman yang boleh dipraktikkan dengan mudah oleh golongan wanita ialah melakukan tarian poco-poco, bermain dengan anak-anak di taman, mengemas rumah dan berjalan kaki atau berjalan laju.

“Aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat menguruskan badan, melancarkan perjalanan darah dan menyihatkan jantung tetapi dalam masa yang sama dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Dr Chen berkata golongan wanita, terutama yang berkerjaya dikesan lebih cenderung menggunakan jalan mudah untuk kelihatan kurus dan ramping, iaitu dengan menggunakan krim sapu dan ubat kurus yang banyak dijual di pasaran.

“Biasanya, golongan wanita bekerja paling berisiko untuk mempunyai berat badan tidak ideal kerana waktu makan mereka yang tidak menentu.

“Mereka juga lebih suka memilih makanan segera yang lebih cepat dan mudah diperolehi berbanding makanan sempurna manakala kerja rumah juga lebih banyak bergantung kepada orang gaji.

Membantu mengemas rumah…

“Kalau betul ada krim sapu yang boleh hilangkan lemak sekelip mata, tentu tak ada lagi masalah berat badan berlebihan, tentu ramai orang kita yang kurus dan ramping,” katanya.

Jelas beliau, pada asasnya tiada jalan singkat untuk mendapatkan kesihatan yang unggul melainkan dengan melakukan senaman yang kerap dan memakan pemakanan yang seimbang

Petua Kekal Sihat

1. Jangan Masukkan Toksin Ke Dalam Badan

Terdapat banyak unsur luar yang boleh menjejaskan tahap kesihatan kita semua. Bahkan sesetengah daripadanya boleh membawa kepada masalah ketagihan. Ini merujuk kepada rokok, alkohol dan salah guna dadah.

Bukan itu sahaja, makanan harian yang kita biasa makan pun boleh menjadi toksin sekiranya ia tidak diambil dengan baik. Sekiranya tidak mahu mendapat sebarang masalah, maka mengurangkan pengambilannya mungkin langkah yang baik.

Pertama sekali, kurangkan pengambilan makanan jajan, makanan yang diproses dan makanan yang dibungkus.

Makanan-makanan tersebut pada asalnya adalah selamat, cuma kalau tidak terkawal ia boleh memudaratkan. Bahkan ada sesetengah pengeluar yang membuat makanan tersebut menjadi addictive, yang boleh membawa kepada rasa ketagihan.

2. Bersenam Untuk Kekal Sihat

Bukan setakat menjauhi makanan yang merbahaya, malah anda juga tidak boleh abaikan senaman.

Dengan bersenam, anda bukan sahaja dapat badan yang cergas, malah anda turut mendapat membantu perkembangan otak agar menjadi lebih cerdas dan berfungsi dengan optimum.

Bersenam juga boleh membantu anda membakar lemak, terutama jika digandingkan dengan pemakanan diet yang sesuai. Bukan sebab ia membakar kalori, tetapi ia meningkatkan hormon dan fungsi asas badan.

Tambahan lagi, terdapat banyak cara untuk anda bersenam, tidak semestinya di gym atau di taman sahaja.

Anda boleh melakukan senaman di kawasan rumah, bahkan di dalam rumah itu sendiri. Walaupun begitu, sebaiknya adalah bersenam di luar, terutama pada waktu pagi agar mendapat vitamin D dari cahaya matahari.

Tidak mahu bersenam atau bersukan? Berjalan pun sudah memadai.

3. Dapatkan Tidur Yang Mencukupi

Tidur adalah sesuatu yang sangat penting untuk kesihatan umum badan dan kajian menunjukkan bahawa tidak cukup tidur boleh membawa kepada pelbagai jenis penyakit, termasuklah obese dan sakit jantung.

Jika mahu kekal sihat, maka anda dinasihatkan untuk tidur dengan baik dan berkualiti setiap malam.

Sekiranya anda tidak dapat tidur dengan baik, maka berjumpalah dengan doktor. Penyakit masalah tidur seperti apnea dan lain-lain boleh dirawat.

Berikut adalah beberapa cara untuk mudah tidur pada waktu malam:

  • Tidak minum minuman berkafein (kopi, teh) pada waktu petang dan malam.
  • Cuba tidur pada waktu yang sama setiap malam dan bangun juga pada waktu yang sama.
  • Tidur dalam gelap, tanpa sebarang cahaya.
Untuk kekal sihat, ia bukannya bergantung semata-mata pada diet, senaman dan tidur.

Bagaimana cara kita berfikir dan kita rasa juga memainkan peranan yang penting. Sekiranya anda sering dalam keadaan tertekan ia boleh memudaratkan kesihatan.

Tahap tekanan yang berlebihan boleh meningkatkan kadar cortisol dan boleh menjejaskan metabolisma badan. Ia boleh meningkatkan rasa craving terhadap makanan, meningkatkan lemak pada abdoman dan meningkatkan risiko kepada beberapa penyakit yang lain.

Untuk mengurangkan tekanan/stress, cuba mudahkan hidup anda. Lakukan senaman, amalkan teknik menarik nafas dan sebagainya.

Sekiranya tidak berhasil, cuba dapatkan nasihat daripada seorang pakar psikologi atau kaunselor.

Dengan mengatasi masalah stress, ia bukan sahaja menjadikan hidup anda bahagia malah boleh memberikan tahap kesihatan yang optimum.

5. Bekalkan Badan Dengan Makanan Berkhasiat

Salah satu cara terbaik dan efektif untuk mengekalkan tahap kesihatan adalah dengan mengambil makanan yang berkhasiat.

Cuba ambil makanan yang tidak diproses atau diolah di kilang.

Lebih baik sekiranya anda menggabungkan pengambilan daging dan sayur-sayuran; daging, ikan, telur, sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang, bijian dan sedikit makanan berlemak dan produk tenusu.

Sekiranya anda mengalami masalah berat badan berlebihan, maka sebaiknya andamengurangkan pengambilan sumber karbohidrat.

Info Tambahan

Satu perkara penting adalah, anda perlu tahu bahawa mengekalkan tahap kesihatan adalah satu marathon dan bukannya satu larian pecut.

Ia perlu mengambil masa dan usaha berpanjangan/berterusan untuk mencapai apa yang diingini.

Kesimpulan

Secara ringkas, cara-cara untuk kekal sihat sepanjang hayat ini merupakan perkara asas yang semua perlu tahu dan amalkan.

Ia tidaklah terlalu sukar untuk diamalkan, cuma perlukan sedikit motivasi untuk ianya berhasil.

Harap artikel ini memberikan manfaat yang berguna kepada para pembaca semua. Silalah kongsikan artikel kepada orang yang tersayang.

Sekian~

Tingkat keyakinan bersenam di gimnasium

Gimnasium atau pusat senaman adalah satu pilihan bagi individu yang baru hendak memulakan amalan senaman dalam rutin harian mereka. Namun, harus diingat bahawa pusat-pusat senaman ini mempunyai kepelbagaian jenis pengunjung. Bagi mereka yang tidak biasa dengan persekitaran sesebuah gimnasium, ia boleh menjadi satu punca kebimbangan dan rasa rendah diri. Ruangan minggu ini ingin menjawab satu soalan dari pembaca berkenaan aspek pemilihan pusat senaman bagi mereka yang baru dengan persekitaran sesebuah gimnasium.

Memilih untuk melakukan senaman di gimnasium mempunyai kelebihan tersendiri berbanding aktiviti senaman di luar persekitaran gimnasium. Kelebihan ini termasuk suasana dan peralatan senaman yang lengkap dan khusus bagi kebanyakan jenis senaman yang boleh dilakukan. Ini termasuk rutin senaman untuk kecergasan kardiovaskular, kekuatan dan ketahanan otot dan lain-lain jenis senaman.

Namun, tidak dinafikan bahawa persekitaran sesebuah gimnasium boleh menjadi satu punca kebimbangan dan rasa rendah diri terutama bagi mereka yang tidak biasa dan belum pernah menggunakan kemudahan ini. Melangkah masuk ke sesebuah gimnasium dengan kepelbagaian peralatan senaman yang tidak diketahui fungsi dan cara penggunaannya, cenderung untuk mencetuskan rasa bimbang dan malu dalam diri sesetengah individu.

Perasaan bimbang daripada melakukan perkara yang salah dan memalukan diri di hadapan pengunjung-pengunjung lain adalah perasaan biasa, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak ada atau kurang berpengetahuan dalam aspek senaman terutamanya yang berkaitan dengan peralatan yang disediakan.

Selain aspek peralatan, melihat pengunjung lain yang sesetengahnya mempunyai susuk tubuh yang menarik dan kelihatan mahir mengendalikan peralatan yang tersedia, turut menjadi satu sebab bagi individu mengelak daripada mengunjungi pusat-pusat senaman yang ada. Aspek keyakinan diri ini tidak harus dijadikan sebab untuk mengelak diri daripada melakukan aktiviti senaman di pusat senaman, malah, ia adalah sesuatu yang boleh ditangani dengan beberapa pendekatan mudah.

Tingkat keyakinan diri

Berbalik kepada persoalan pembaca tersebut, tiada persediaan khusus yang diperlukan bagi seseorang untuk memulakan senaman di pusat senaman atau gimnasium. Namun, jika aspek keyakinan menghalang diri daripada melakukan senaman di gimnasium, perkara yang berikut boleh dilakukan.

1.Lawat beberapa pusat senaman dan pilih pusat senaman yang memberi keselesaan maksimum dari segi peralatan disediakan, ruang senaman yang ada dan juga lokasi pusat senaman tersebut. Jika pusat senaman yang besar dan terbuka mencetuskan rasa tidak selesa, pilihlah pusat-pusat senaman yang lebih kecil dan menyediakan ruang yang lebih tertutup dan peribadi. Selain itu, pilihlah pusat senaman yang menyenangkan diri untuk dikunjungi di sebalik semua komitmen harian yang ada.

2.Minta penerangan berkenaan cara pengunaan alat. Sesetengah gimnasium menawarkan sesi orientasi kepada mereka yang ingin menjadi ahli atau ahli baru. Dalam sesi tersebut, pengunjung akan diberi penerangan berkenaan peralatan yang ada dan rutin-rutin senaman yang boleh dilakukan. Tahap keyakinan dan keselesaan boleh ditingkatkan jika seseorang itu tahu dan biasa dengan persekitarannya, khususnya di sesebuah pusat senaman. Jika sesi tersebut tidak disediakan, pilih tempat yang boleh memberi penerangan berkenaan aspek ini.

3.Mengupah jurulatih peribadi. Bagi mereka yang baru hendak memulakan rutin senaman, faktor pengetahuan mempengaruhi kelangsungan amalan senaman tersebut. Pemilihan rutin senaman yang salah cenderung untuk menyebabkan perkara yang boleh menyebabkan amalan tersebut diabaikan seperti yang pernah diulas dalam ruangan terdahulu (Bersama Psikologis, 12 Jun 2016). Pelatih peribadi boleh mereka bentuk aktiviti senaman yang sesuai dengan matlamat diri selain mengajar dan menunjukkan cara penggunaan peralatan-peralatan yang ada di sesebuah gimnasium.

4.Kunjungi gimnasium dengan rakan. Faktor sokongan sosial adalah penting dalam kehidupan seseorang individu termasuk dalam konteks senaman. Aspek keyakinan boleh ditingkatkan dengan melakukannya dengan sokongan agen sosial seperti rakan atau keluarga. Oleh demikian, cari rakan dengan matlamat yang sama untuk melakukan aktiviti tersebut bersama-sama.

5.Pilih waktu yang tidak sibuk. Kebanyakan gimnasium mempunyai waktu-waktu yang sibuk dengan pengunjung seperti selepas waktu berkerja. Untuk mengelakkan orang ramai, jadual senaman boleh disusun dengan mengelakkan waktu-waktu puncak ini.

Tiada apa yang perlu dibimbangkan untuk memulakan rutin senaman di gimnasium atau pusat senaman. Perkara-perkara yang cenderung untuk mencetuskan kebimbangan ini boleh ditangani dengan berkesan melalui pemilihan tempat dan sokongan yang bersesuaian.

Namun, jika saranan-saranan yang diberi masih tidak mampu untuk meningkatkan keyakinan diri, banyak pilihan aktiviti senaman yang boleh dilakukan di luar persekitaran pusat senaman. Perkara yang penting adalah untuk menjadikan senaman sebagai satu amalan harian sama ada di pusat senaman mahupun di luar.

 

 

Exit mobile version