Gimnasium atau pusat senaman adalah satu pilihan bagi individu yang baru hendak memulakan amalan senaman dalam rutin harian mereka. Namun, harus diingat bahawa pusat-pusat senaman ini mempunyai kepelbagaian jenis pengunjung. Bagi mereka yang tidak biasa dengan persekitaran sesebuah gimnasium, ia boleh menjadi satu punca kebimbangan dan rasa rendah diri. Ruangan minggu ini ingin menjawab satu soalan dari pembaca berkenaan aspek pemilihan pusat senaman bagi mereka yang baru dengan persekitaran sesebuah gimnasium.
Memilih untuk melakukan senaman di gimnasium mempunyai kelebihan tersendiri berbanding aktiviti senaman di luar persekitaran gimnasium. Kelebihan ini termasuk suasana dan peralatan senaman yang lengkap dan khusus bagi kebanyakan jenis senaman yang boleh dilakukan. Ini termasuk rutin senaman untuk kecergasan kardiovaskular, kekuatan dan ketahanan otot dan lain-lain jenis senaman.
Namun, tidak dinafikan bahawa persekitaran sesebuah gimnasium boleh menjadi satu punca kebimbangan dan rasa rendah diri terutama bagi mereka yang tidak biasa dan belum pernah menggunakan kemudahan ini. Melangkah masuk ke sesebuah gimnasium dengan kepelbagaian peralatan senaman yang tidak diketahui fungsi dan cara penggunaannya, cenderung untuk mencetuskan rasa bimbang dan malu dalam diri sesetengah individu.
Perasaan bimbang daripada melakukan perkara yang salah dan memalukan diri di hadapan pengunjung-pengunjung lain adalah perasaan biasa, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak ada atau kurang berpengetahuan dalam aspek senaman terutamanya yang berkaitan dengan peralatan yang disediakan.
Selain aspek peralatan, melihat pengunjung lain yang sesetengahnya mempunyai susuk tubuh yang menarik dan kelihatan mahir mengendalikan peralatan yang tersedia, turut menjadi satu sebab bagi individu mengelak daripada mengunjungi pusat-pusat senaman yang ada. Aspek keyakinan diri ini tidak harus dijadikan sebab untuk mengelak diri daripada melakukan aktiviti senaman di pusat senaman, malah, ia adalah sesuatu yang boleh ditangani dengan beberapa pendekatan mudah.
Tingkat keyakinan diri
Berbalik kepada persoalan pembaca tersebut, tiada persediaan khusus yang diperlukan bagi seseorang untuk memulakan senaman di pusat senaman atau gimnasium. Namun, jika aspek keyakinan menghalang diri daripada melakukan senaman di gimnasium, perkara yang berikut boleh dilakukan.
1.Lawat beberapa pusat senaman dan pilih pusat senaman yang memberi keselesaan maksimum dari segi peralatan disediakan, ruang senaman yang ada dan juga lokasi pusat senaman tersebut. Jika pusat senaman yang besar dan terbuka mencetuskan rasa tidak selesa, pilihlah pusat-pusat senaman yang lebih kecil dan menyediakan ruang yang lebih tertutup dan peribadi. Selain itu, pilihlah pusat senaman yang menyenangkan diri untuk dikunjungi di sebalik semua komitmen harian yang ada.
2.Minta penerangan berkenaan cara pengunaan alat. Sesetengah gimnasium menawarkan sesi orientasi kepada mereka yang ingin menjadi ahli atau ahli baru. Dalam sesi tersebut, pengunjung akan diberi penerangan berkenaan peralatan yang ada dan rutin-rutin senaman yang boleh dilakukan. Tahap keyakinan dan keselesaan boleh ditingkatkan jika seseorang itu tahu dan biasa dengan persekitarannya, khususnya di sesebuah pusat senaman. Jika sesi tersebut tidak disediakan, pilih tempat yang boleh memberi penerangan berkenaan aspek ini.
3.Mengupah jurulatih peribadi. Bagi mereka yang baru hendak memulakan rutin senaman, faktor pengetahuan mempengaruhi kelangsungan amalan senaman tersebut. Pemilihan rutin senaman yang salah cenderung untuk menyebabkan perkara yang boleh menyebabkan amalan tersebut diabaikan seperti yang pernah diulas dalam ruangan terdahulu (Bersama Psikologis, 12 Jun 2016). Pelatih peribadi boleh mereka bentuk aktiviti senaman yang sesuai dengan matlamat diri selain mengajar dan menunjukkan cara penggunaan peralatan-peralatan yang ada di sesebuah gimnasium.
4.Kunjungi gimnasium dengan rakan. Faktor sokongan sosial adalah penting dalam kehidupan seseorang individu termasuk dalam konteks senaman. Aspek keyakinan boleh ditingkatkan dengan melakukannya dengan sokongan agen sosial seperti rakan atau keluarga. Oleh demikian, cari rakan dengan matlamat yang sama untuk melakukan aktiviti tersebut bersama-sama.
5.Pilih waktu yang tidak sibuk. Kebanyakan gimnasium mempunyai waktu-waktu yang sibuk dengan pengunjung seperti selepas waktu berkerja. Untuk mengelakkan orang ramai, jadual senaman boleh disusun dengan mengelakkan waktu-waktu puncak ini.
Tiada apa yang perlu dibimbangkan untuk memulakan rutin senaman di gimnasium atau pusat senaman. Perkara-perkara yang cenderung untuk mencetuskan kebimbangan ini boleh ditangani dengan berkesan melalui pemilihan tempat dan sokongan yang bersesuaian.
Namun, jika saranan-saranan yang diberi masih tidak mampu untuk meningkatkan keyakinan diri, banyak pilihan aktiviti senaman yang boleh dilakukan di luar persekitaran pusat senaman. Perkara yang penting adalah untuk menjadikan senaman sebagai satu amalan harian sama ada di pusat senaman mahupun di luar.